"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

JAKIM’s view on the ‘Allah’issue

JAKIM (http://www.islam.gov.my)
Tarikh : 09 Mei 2008
Sumber : Pengarah Bahagian Keurusetiaan & Perhubungan Antarabangsa
Editor : PRO JAKIM
Kalimah Allah Khusus Untuk Agama Dan Umat Islam Sahaja
Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah bagi kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 telah memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
Oleh itu, penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam di negara ini dalam bahan-bahan penerbitan tidak boleh dibenarkan. Umat Islam wajib menjaga kalimah Allah dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Muzakarah kali ini juga turut membincangkan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa pada Muzakarah kali ke-51 bertarikh 11 Mac 2002 iaitu: “Mengikut kaedah syariah, PTPTN boleh mengenakan kos perkhidmatan mengikut perkiraan yang sebenar ke atas pinjaman yang diberikan kepada pelajar” adalah masih terpakai dan relevan dan PTPTN diminta mengemukakan garis panduan atau formula pembayaran balik pinjaman yang jelas berdasarkan perkiraan kos sebenar yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa supaya selaras dengan kehendak syarak.
Dalam majlis berasingan, ahli-ahli Muzakarah telah diraikan oleh Y.A.B. Ustaz Azizan bin Abd. Razak, Menteri Besar Kedah pada Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Amat Arif Dato’ Wira Sheikh Yahya bin Haji Jusoh, Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Y.Bhg. Dato’ Sheikh Uzir bin Baharom, Yang di-Pertua Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Yang Berhormat EXCO-EXCO Kerajaan Negeri, Yang Berbahagia Dato’ Zakiah Kasim, Penasihat Undang-undang Negeri Kedah, Y. Bhg. Dato’ Rasli bin Hj. Basir, Pegawai Kewangan Negeri dan ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah.
Sementara itu, Pengerusi JKF, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dalam ucapan aluannya berkeyakinan dengan jalinan kerjasama yang padu dan fikrah yang sepakat demi memartabatkan syiar Islam, sebarang perubahan kepimpinan tidak akan menjejaskan peranan dan bidang tugas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Menurut beliau, tidak kira apa pun ideologi politik yang diikuti, namun sebagai umat Islam kita berada di landasan yang sama dalam menegakkan syiar Islam dan berpegang pada sumber yang satu iaitu al-Quranul Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang akan menyatukan umat Islam dan akan memberi kekuatan selama-lamanya.
(Tamat)