"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

Perkataan ‘Allah’

Utusan Malaysia Online (http://www.utusan.com.my)
(1)Perkataan Allah: Permohonan 8 pencelah didengar 7 Jan, 5 Ogos 2008
KUALA LUMPUR 5 Ogos – Permohonan lapan majlis agama Islam negeri untuk menjadi pencelah dalam kes saman Gereja Katolik terhadap Kerajaan Malaysia akan didengar oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 7 Januari tahun depan.
Gereja Katolik memfailkan saman tersebut bagi mendapat perisytiharan bahawa ia berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly.
Hakim Datuk Abdul Kadir Musa menetapkan tarikh tersebut semasa pengurusan kes berkenaan di kamar beliau hari ini.
Permohonan untuk menjadi pencelah itu dikemukakan oleh majlis agama Islam bagi negeri Perak, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka.
Dalam writ saman yang difailkan pada 5 Disember tahun lalu, Gereja Katolik sebagai plaintif menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini Menteri Dalam Negeri) defendan pertama dan Kerajaan Malaysia defendan kedua.
Selain perisytiharan tersebut, plaintif memohon perisytiharan bahawa arahan-arahan defendan pertama untuk memberhentikan penggunaan perkataan itu dalam penerbitan mereka adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.
Turut dipohon ialah perisytiharan bahawa perkataan Allah adalah tidak khusus bagi agama Islam.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, mulai bulan Mei 1998 sehingga September 2007, Ketua Setiausaha defendan pertama telah mengeluarkan lapan surat kepadanya mengarahkan pemberhentian penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut.
Plaintif mendakwa, pada 3 Jun 1998, pihaknya telah menghantar surat jawapan kepada Perdana Menteri ketika itu yang juga Menteri Dalam Negeri berhubung perkara itu tetapi tiada balasan sehingga pihaknya menerima surat daripada Ketua Setiausaha kementerian pada 17 Julai 2002.
Selepas beberapa siri surat-menyurat dan pertemuan, plaintif mendakwa telah menerima surat daripada defendan pertama yang memberi amaran mengenai penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan itu dan mengingatkan keperluan mematuhi Syarat-Syarat Permit.
Plaintif membalas surat itu dengan menyatakan surat amaran itu adalah tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara dan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

(2) Perkataan Allah: MAIM minta kebenaran jadi pencelah, 23 Julai 2008
KUALA LUMPUR 23 Julai - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menjadi pencelah dalam kes semakan kehakiman Gereja Katolik berhubung larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald The Catholic Weekly.
Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 9.45 pagi melalui firma guamanTetuan Adli & Co.
Bersama permohonan tersebut, disertakan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Setiausaha MAIM, Datuk Alias Md Saad.
Permohonan difailkan supaya diberikan kebenaran untuk mencelah dan ditambah sebagai responden dalam prosiding writ saman dan semakan kehakiman berkenaan.
Ia dibuat dengan alasan, majlis itu berperanan mentadbir dan memastikan institusi perundangan Islam, pentadbiran Islam dan masyarakat Islam di negeri itu secara khususnya adalah terpelihara dan berjalan selari dengan kehendak syarak dan undang-undang syariah.
Permohonan itu juga dikemukakan dengan tujuan mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan di kalangan rakyat yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam serta menimbulkan sensitiviti agama.
Pada 5 Mei lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut.
Hakim Lau Bee Lan juga membenarkan Gereja Katolik membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
Kebenaran yang sama juga diberikan berhubung tuntutan perisytiharan bahawa gereja itu berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut dan perkataan tersebut tidak eksklusif kepada agama Islam sahaja.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini telah digabungkan dengan portfolio Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjadi Menteri Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Setakat ini, tujuh majlis agama Islam telah memfailkan permohonan iaitu Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Pada 1 Julai lalu, Majlis Gurdwara Malaysia yang mewakili masyarakat Sikh turut memfailkan permohonan sama.
Selain mendapatkan kebenaran menjadi pencelah, kesemua mereka memohon perintah agar dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan kehakiman berkenaan.
Sementara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) telah menarik balik permohonan itu bagi tujuan untuk memfailkan permohonan baru pada 9 Julai lalu.
Mahkamah menetapkan 21 November ini untuk mendengar bantahan Gereja Katolik terhadap semua permohonan tersebut.
(3) Perkataan Allah: Bantahan terhadap pencelah didengar 21 Nov, 9 Julai 2008
KUALA LUMPUR 9 Julai - Gereja Katolik akan mengemukakan bantahan terhadap semua permohonan bagi mendapatkan kebenaran menjadi pencelah dalam kes semakan kehakiman berhubung larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan, Herald-The Catholic Weekly.
Peguam Porres P. Royan yang mewakili gereja tersebut memberitahu demikian kepada pemberita selepas Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Lau Bee Lan hari ini menetapkan 21 November ini untuk mendengar permohonan tersebut.
Tarikh tersebut ditetapkan bagi membolehkan semua pihak yang ingin menjadi pencelah dalam kes itu memfailkan permohonan mereka.
Hakim Bee Lan juga menetapkan tarikh yang sama untuk sebutan semakan kehakiman oleh Gereja Katolik.
Pada prosiding hari ini, mahkamah diberitahu bahawa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) menarik balik permohonannya untuk mendapatkan kebenaran menjadi pencelah dalam kes tersebut.
Peguam Mubashir Mansor yang mewakili MAIAMP memberitahu, beliau diarahkan menarik balik permohonan itu dengan kebebasan memfailkan permohonan baru. Hakim Bee Lan membenarkannya tanpa perintah kos.
Mahkamah juga diberitahu bahawa sebuah lagi majlis agama Islam, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) turut memfailkan permohonan sama pada pagi ini.
Permohonan yang difailkan melalui firma guaman, Tetuan Ikbal Salam & Associates itu turut disertakan dengan afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ, Datuk Zalil Baron.
Sementara itu, Mubashir memberitahu pemberita di luar mahkamah, MAIAMP akan memfailkan semula permohonannya secepat mungkin.
Berikutan penarikan balik permohonan MAIAMP, setakat ini enam majlis agama Islam telah memfailkan permohonan iaitu MAIJ, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Pada 1 Julai lalu, Majlis Gurdwara Malaysia yang mewakili masyarakat Sikh turut memfailkan permohonan sama.
Selain mendapatkan kebenaran menjadi pencelah, kesemua mereka memohon perintah agar dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan kehakiman berkenaan.
Pada 5 Mei lalu, mahkamah tersebut membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut.
Hakim Bee Lan juga membenarkan Gereja Katolik membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
Kebenaran yang sama juga diberikan berhubung tuntutan perisytiharan bahawa gereja itu berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan dan perkataan itu tersebut tidak eksklusif kepada agama Islam sahaja.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini telah digabungkan dengan portfolio Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjadi Menteri Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
(4) Perkataan Allah: Permohonan pencelah didengar 9 Julai, 4 Julai 2008
KUALA LUMPUR 4 Julai - Permohonan lima majlis agama untuk mendapatkan kebenaran menjadi pencelah dalam kes semakan kehakiman oleh Gereja Katolik berhubung larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan, Herald-The Catholic Weekly akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Julai ini.
Permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Lau Bee Lan.
Tarikh berkenaan juga ditetapkan untuk sebutan permohonan semakan kehakiman oleh Gereja Katolik.
Empat majlis agama Islam negeri yang memohon menjadi pencelah dalam kes tersebut ialah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pada 1 Julai lalu, Majlis Gurdwara Malaysia yang mewakili masyarakat Sikh turut memfailkan permohonan yang sama.
Selain untuk mendapatkan kebenaran menjadi mencelah, kelima-lima majlis agama itu memohon perintah agar mereka turut dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan kehakiman berkenaan.
Pada 5 Mei lalu, mahkamah tersebut membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut.
Hakim Bee Lan juga membenarkan Gereja Katolik membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
Kebenaran yang sama juga diberikan berhubung tuntutan perisytiharan bahawa gereja itu berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut dan perkataan tersebut tidak eksklusif kepada agama Islam sahaja.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini telah digabungkan dengan portfolio Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjadi Menteri Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
(5) Perkataan Allah: Dua lagi minta kebenaran jadi pencelah, 26 Jun 2008
KUALA LUMPUR 26 Jun - Dua majlis agama Islam negeri memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menjadi pencelah dalam kes semakan kehakiman Gereja Katolik berhubung larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang memfailkan permohonan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 1 tengah hari ini melalui peguam, Mohd. Zulkhairi Ab. Aziz dari firma guaman Tetuan Zainul Rijal Talha & Amir.
Bersama permohonan tersebut, disertakan afidavit sokongan yang diikrarkan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Datuk Alwi Muhamad.
Sementara afidavit yang diikrarkan Setiausaha Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Fakhruddin Abd. Rahman, turut disertakan bagi menyokong permohonan itu.
Tujuan kedua-duanya (permohonan) difailkan supaya diberikan kebenaran untuk mencelah dan ditambah sebagai responden dalam prosiding writ saman dan semakan kehakiman berkenaan.
Permohonan dibuat dengan alasan, kedua-duanya berperanan mentadbir dan memastikan Institusi Perundangan Islam, pentadbiran Islam dan masyarakat Islam di negeri-negeri itu secara khususnya adalah terpelihara dan berjalan selari dengan kehendak syarak dan undang-undang syariah.
Permohonan itu juga dikemukakan dengan tujuan mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan di kalangan rakyat yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam serta menimbulkan sensitiviti agama.
Pada 5 Mei lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut.
Hakim Lau Bee Lan juga membenarkan Gereja Katolik membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
Kebenaran yang sama juga diberikan berhubung tuntutan perisytiharan bahawa gereja itu berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut dan perkataan tersebut tidak eksklusif kepada agama Islam sahaja.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini telah digabungkan dengan portfolio Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjadi Menteri Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) telah memfailkan permohonan yang serupa di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini pada 26 Mei lalu.
Sementara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga berbuat demikian pada 3 Jun lalu.
(6) Allah: Majlis Islam Wilayah, Perak mohon jadi pencelah, 3 Jun 2008
Oleh AMIRUDDIN HARUN
KUALA LUMPUR 3 Jun – Dua majlis agama Islam negeri telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran sebagai pencelah dalam kes semakan kehakiman oleh Gereja Katolik terhadap larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald-The Catholic Weekly.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memfailkan permohonan tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini manakala Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) telah memfailkan permohonan yang sama pada 26 Mei lalu.
Kedua-dua permohonan itu difailkan oleh peguam Zainul Rijal Abu Bakar dari firma guaman Tetuan Zainul Rijal Talha & Amir.
Dalam permohonan tersebut, MAIWP dan MAIAMP memohon kebenaran untuk mencelah dan ditambah sebagai responden dalam prosiding writ saman dan semakan kehakiman berkenaan.
Permohonan itu dibuat dengan alasan bahawa mereka berperanan untuk mentadbir dan memastikan Institusi Perundangan Islam, pentadbiran Islam dan masyarakat Islam di negeri-negeri itu secara khususnya adalah terpelihara dan berjalan selari dengan kehendak syarak dan undang-undang syariah.
Permohonan itu juga dikemukakan dengan tujuan mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan di kalangan rakyat yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam serta menimbulkan sensitiviti agama.
Turut difailkan ialah afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIAMP, Datuk Jamry Sury dan Setiausaha MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali.
Pada 5 Mei lalu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang- undang) terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut.
Hakim Lau Bee Lan juga membenarkan Gereja Katolik membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
Kebenaran yang sama juga diberikan berhubung tuntutan perisytiharan bahawa gereja itu berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut dan perkataan tersebut tidak eksklusif kepada agama Islam sahaja.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini telah digabungkan dengan portfolio Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjadi Menteri Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Pada sidang akhbar yang diadakan selepas itu, Zainul Rijal berkata, kedua-dua majlis agama Islam tersebut adalah bertanggungjawab untuk memastikan perlindungan kepada integriti perkataan Allah yang menjadi teras kepercayaan orang Islam.
“Justeru adalah menjadi asas utama bagi kedua-dua majlis agama Islam negeri tersebut untuk mencelah apabila hak-hak dan kepentingan-kepentingan orang Islam terjejas,’’ katanya yang juga Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Menurut Zainul Rijal, sekiranya permohonan itu dibenarkan oleh mahkamah, MAIAMP dan MAIWP boleh mengambil bahagian dalam prosiding semakan kehakiman itu termasuk berhujah dan memfailkan afidavit.
(7) Gereja Katolik dibenar buat semakan kehakiman, 5 Mei 2008
KUALA LUMPUR 5 Mei - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly.
Hakim Lau Bee Lan juga membenarkan Gereja Katolik membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
Kebenaran yang sama juga diberikan berhubung tuntutan perisytiharan bahawa gereja itu berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut dan perkataan tersebut tidak eksklusif kepada agama Islam sahaja.
Dengan kebenaran tersebut, peguam Porres Royan yang mewakili Gereja Katolik memberitahu wartawan di luar mahkamah, pihaknya akan memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman dalam tempoh dua minggu ini.
Hakim Bee Lan dalam penghakimannya berkata, beliau bersetuju dengan pendapat Royan bahawa adalah terlalu awal untuk membuat sebarang hujahan bagi menentukan remedi (jalan penyelesaian) yang sesuai pada peringkat ini.
'Kesesuaian remedi atau sebaliknya seharusnya ditentukan di peringkat merit, yang mana mahkamah boleh membentuk remedi yang sesuai mengikut keadaan-keadaan tertentu kes ini,'' kata beliau.
Sejajar dengan itu, beliau menolak hujahan bantahan Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi berhubung tuntutan perisytiharan bahawa pemohon layak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan dan perkataan itu tidak eksklusif kepada agama Islam.
BerhujahAzizah sebelum ini berhujah bahawa dua tuntutan itu sepatutnya dibuat melalui tindakan saman dan ditentukan melalui keterangan pakar kerana ia melibatkan hak-hak peribadi.
Hakim Bee Lan turut bersetuju dengan hujahan Royan bahawa relif terhadap hak remedi dan perisytiharan perlu dipohon bersama atau secara alternatif dalam satu permohonan semakan kehakiman sekiranya ia membabitkan perkara yang sama.
'Dalam kes ini, keputusan yang mengandungi syarat dalam permit penerbitan pemohon, kesannya kepada kepercayaan komuniti yang pemohon ketuai iaitu tidak boleh menggunakan perkataan-perkataan tertentu seperti perkataan Allah dan sama ada pemohon benar atau sebaliknya, akan ditentukan melalui meritnya semasa pendengaran permohonan semakan kehakiman,'' katanya.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini telah digabungkan dengan portfolio Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjadi Menteri Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Gereja berkenaan mengemukakan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
(8) Perkataan Allah: Permohonan gereja Katolik ditentu 5 Mei, 29 April 2008
KUALA LUMPUR 29 April - Mahkamah Tinggi di sini akan menentukan pada 5 Mei ini keputusan permohonan gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly.
Hakim Lau Bee Lan menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung permohonan berkenaan.
Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi yang mewakili responden-responden berhujah bahawa pihaknya tidak membantah permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap tuntutan perisytiharan bahawa larangan itu adalah tidak sah dan batal.
Bagaimanapun, beliau membantah tuntutan pemohon berhubung perisytiharan penggunaan perkataan dalam penerbitan itu dan tuntutan perkataan Allah tidak eksklusif kepada agama Islam.
Ini kerana, katanya, perisytiharan berkaitan hak tersebut seharusnya dibuat melalui tindakan saman (writ action) dan bukannya melalui semakan kehakiman yang digubal untuk menyemak keputusan menteri.
'Pemohon tidak boleh mengisytiharkan hak peribadi mereka untuk menggunakan perkataan Allah dalam permohonan semakan kehakiman. Cara yang betul adalah melalui tindakan saman atau di bawah Seksyen 41 Akta Relif Spesifik 1950,' katanya.
Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua.
Gereja berkenaan mengemukakan permohonan semakan kehakiman bagi menuntut perisytiharan agar keputusan responden-responden yang melarang penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
Larangan penggunaan perkataan tersebut terkandung dalam keputusan responden-responden yang menyatakan bahawa permit penerbitan pemohon bagi tempoh sepanjang tahun ini adalah tertakluk kepada 'Garis Panduan Penerbitan'.
Pemohon turut menuntut perisytiharan bahawa mereka berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan itu dan perkataan Allah tidak eksklusif kepada agama Islam.
Menurut Azizah, isu sama ada pemohon mempunyai hak menggunakan perkataan Allah berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, perlu ditentukan oleh mahkamah selepas mendengar keterangan pakar terhadap isu tersebut.
Begitu juga, kata Azizah, keterangan pakar diperlukan sebelum mahkamah membuat keputusan bagi menentukan tuntutan mengenai perkataan Allah yang dikatakan tidak eksklusif kepada agama Islam kerana ia membabitkan kepercayaan dan penggunaan bahasa.
'Persoalan penting tersebut tidak boleh ditentukan oleh mahkamah berdasarkan kepada afidavit pemohon dan menteri semata-mata,'' kata beliau ketika memohon agar permohonan kebenaran bagi kedua-dua isu itu ditolak.
Sementara itu, peguam Porres Royan pula berhujah, adalah pramatang untuk mahkamah mendengar hujah berhubung remedi yang sesuai berhubung tuntutan kedua-dua isu itu di peringkat awal ini yang hanya membabitkan permohonan mendapatkan kebenaran.
Isu tersebut, menurut beliau, sepatutnya didengar pada peringkat semakan kehakiman kelak jika kebenaran diberikan oleh mahkamah.
(Tamat)