"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

DBP and the BM Bible (4)

For this article in Malay, please refer to my previous postings (http://d.hatena.ne.jp/itunalily2/20171116)(http://d.hatena.ne.jp/itunalily2/20171117)(http://d.hatena.ne.jp/itunalily2/20171121)(http://d.hatena.ne.jp/itunalily2/20171127). (Lily)


Free Malaysia Today (http://www.freemalaysiatoday.com/)

DBP tak boleh terjemah Bible, kata sumber
oleh Mohamad Fadli
26 November 2017
KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak boleh menterjemah kitab Bible ke dalam bahasa Melayu seperti dicadangkan peguam Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Mohamed Haniff Khatri Abdulla, kata sumber rapat dengan DBP.
Sumber itu berkata, DBP juga tidak boleh menterjemah mana-mana kitab, termasuk al-Quran.
Kita tidak boleh terjemah kitab Bible. Sudah lama dan boleh lihat di dalam laman web DBP mengenai tugas-tugas yang dibenarkan oleh DBP.
“DBP tidak perlu keluarkan kenyataan penafian ini sebenarnya sebab mereka boleh lihat sendiri di laman web DBP mengenai tugasan DBP,” katanya kepada FMT.
Laman web DBP menyatakan penubuhan DBP bertujuan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Pada 1959, DBP dinaik taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.
Susulan itu, DBP diberi kuasa autonomi untuk menggubal dasarnya yang khusus; menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa serta sastera; menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetitif menurut prinsip serta amalan perusahaan dan profesion penerbitan.
Pada 15 November lalu, Haniff membuat cadangan itu kepada mahkamah dalam pendengaran kes seorang Bumiputera Sarawak beragama Kristian yang merupakan penutur bahasa Melayu, Jill Ireland Lawrence Bill, terhadap menteri dalam negeri dan kerajaan untuk menegakkan hak perlembagaan beliau yang menurutnya dilanggar larangan penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian.
Beliau mendakwa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak tersalah menggunakan kalimah “Allah” untuk merujuk “God” dalam bahasa Melayu kerana mereka sepatutnya menggunakan “Tuhan” yang tidak akan mengurangkan hak mereka.
Sementara itu, FMT gagal menghubungi Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas untuk mengulas cadangan Haniff supaya DBP menyediakan terjemahan Bible dalam bahasa Melayu.
Pegawai bahagian komunikasi DBP yang enggan dikenali berkata, sebarang kenyataan akan dimaklumkan kelak.
“Wartawan media lain pun hendak ketua pengarah ulas perkara sama, namun ketua pengarah seperti tidak bersedia membuat apa-apa kenyataan. Jika ada perkembangan baru akan saya maklum kemudian. Terima kasih,” katanya melalui WhatsApp.
Cadangan Haniff mencetuskan kemarahan pemimpin gereja dan politik beragama Kristian, termasuk sebuah badan pelbagai agama yang membidas kenyataan itu melampau.
Presiden Majlis Gereja Sabah, Biskop Melter Jiki Tais menuntut Haniff meminta maaf kerana menghina orang Kristian di Sabah.
Bagaimanapun, Haniff enggan meminta maaf atau menarik balik cadangannya meskipun dibidas pelbagai pihak.
(Tamat)