"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

“Herald” and Malay Press (3)

HarakahDaily (http://www.harakahdaily.net)
PKPIM syor Herald guna nama lain bagi kalimat Allah , 10 Mei 2008
Oleh Ali Bukhari Amir
KUALA LUMPUR, 10 Mei (Hrkh) - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengesyorkan pihak Herald The Catholic Weekly mencari nama yang sesuai selain Allah bagi nama Tuhan mereka, sekaligus dapat memperkayakan istilah di dalam perbendaharaan bahasa Melayu.
"Pengkayaan unsur ibadat dan ketuhanan bukanlah perkara yang baharu dalam perbendaharaan bahasa Melayu. Sebagai contoh, rumah ibadat bagi agama-agama lain selain 'masjid' ialah, 'gereja', 'kuil', 'tokong' dan sebagainya," demikian kata Presiden PKPIM Mohd Hilmi Ramli dalam suatu kenyataan akhbarnya.
Beliau berkata demikian ketika merujuk keputusan terbaru oleh Mahkamah Tinggi yang membenarkan penyemakan semula nama Allah yang sering digunakan oleh akhbar Herald The Catholic Weekly.
Kes penggunaan nama Allah di dalam akhbar Herald The Catholic Weekly mengundang kontroversi, apabila akhbar berorientasikan Kristian itu mahu menggunakan nama Allah dengan merujuk kepada Tuhan bagi agama Kristian.
Keputusan kabinet pada 3 Januari lalu menegaskan bahawa hanya Islam berhak menggunakan nama Allah, namun akhbar itu mencabar keputusan tersebut dengan membawa isu berkenaan untuk dirujuk kepada Mahkamah Tinggi.
"Isu nama Allah ini bukan isu yang remeh dengan konteks agama Islam. Islam memperakui Allah sebagai Tuhan Yang Maha Agung bukan 'nama' yang baru dicipta, tetapi sudah bermula sejak sekian lama, sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w secara rasmi, malah sejak Nabi Adam dicipta lagi.
"Nama Allah eksklusif kepada umat Islam. Tiada dalam sejarah agama Kristian mahupun agama lain menggunakan nama Allah sebagai Tuhan mereka," kata beliau.
Tambah Mohd Hilmi, jika ada pandangan menyatakan Arab Kristian mengguna nama Allah dalam percakapan; "Yallah", "Masya Allah" dan sebagainya, PKPIM menegaskan bahawa kalimah "Allah" yang digunakan itu bersifat populis dan ke'pasar'an sahaja.
"Ini tidak bermakna Arab Kristian menggunakan nama Allah dalam konteks yang berat dan sebenar; Tuhan Yang Maha Esa, Yang Hanya Layak Disembah, Tuhan Yang Tidak Beranak dan Memperanakkan. Justeru, hujah ini dapat dipatahkan.
"Kami memberi syarat kepada akhbar Herald The Catholic Weekly, jika mahu guna nama Allah dalam akhbar bahasa Melayu, maka gunalah dalam konteks 'Allah' yang sebenar, iaitu bukan Tuhan yang bernama Jesus, mempunyai anak dan Tuhan Yang Menebus Dosa. 'Allah' yang dimaksudkan mesti selari dengan kefahaman Tuhan Allah bagi umat Islam," katanya.
Menurut beliau, pihaknya memberi amaran kepada Herald The Catholic Weekly supaya tidak lagi menimbulkan kontroversi dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam berhubung penggunaan nama Allah.
"Adakah penggunaan nama Allah ini bertujuan menyesatkan umat Islam secara terancang? Istilah bagi merujuk orang alim atau agamawan juga telah ada seperti 'ulama' bagi orang Islam, 'Rahib' dan 'paderi' bagi agama Kristian, 'sami' bagi Hindu dan lain-lain lagi. Maka, tiada masalah sebenarnya akhbar itu mencari nama lain bagi Tuhan mereka.
"Tindakan akhbar itu sebenarnya membuka kotak 'paradox' yang sebelum ini sudah harmoni dan aman. Kekeliruan dan strategi halus yang digunakan akhbar ini atas nama Kristianisasi menimbulkan rasa marah dan kecewa umat Islam Malaysia secara khusus dan dunia umumnya.
"PKPIM beri amaran agar Herald Tribune tidak menimbulkan kerisauan dengan menggunakan nama Allah dengan merujuk kepada Tuhan dalam agama Kristian. Herald The Catholic Weekly harus beradab dalam meletakkan nama Allah di tempat yang sebenarnya," tambah beliau.
Misi Kristianisasi dalam kalangan umat Islam melanggar Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) boleh membuat undang-undang bagi menghalang penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam.- mks._
(Tamat)