"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

BM news about Herald issue

1. Berita Harian (http://www.bharian.com.my)
Mahkamah benar rayuan paderi (date unknown)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini semalam membenarkan permohonan Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur untuk semakan kehakiman berhubung penggunaan nama 'Allah' dalam majalah Herald-The Catholic Weekly.
Hakim Lau Bee Lan yang membuat keputusan itu dengan kos, bagaimanapun tidak menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan berkenaan yang dikemukakan Uskup Agung Kuala Lumpur, Datuk Murphy Nicholas Xaviar Pakiam, melalui peguamnya Porres Royan.
Pakiam menamakan dua responden dalam permohonannya itu, iaitu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan Kerajaan Malaysia.
Beliau memohon pembatalan keputusan responden melarang penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan mereka, selain pengisytiharan penggunaannya bukan khusus untuk agama Islam.
Dalam keputusannya, Lau berkata, beliau perlu mendengar keseluruhan fakta dan hujahan berhubung permohonan itu sebelum membuat keputusan muktamad berhubung remedi yang wajar diberikan.
Saya juga dapati bantahan responden terhadap perintah yang diminta pemohon pada peringkat ini, adalah tidak berasas,” katanya.
Dalam permohonannya pada Disember lalu, Pakiam meminta deklarasi keputusan kementerian yang melarang penggunaan nama Allah dalam penerbitan terbatal dan tidak sah serta pemohon berhak menggunakan perkataan berkenaan dalam majalah mereka.
Beliau turut meminta penangguhan terhadap keputusan kementerian itu yang melarang semua edisi terbitannya keluaran 1 Januari hingga 31 Disember 2008 menggunakan nama 'Allah'.
Pemohon mendakwa menggunakan perkataan 'Allah' yang dirujuk sebagai ‘god’ sejak awal penerbitan majalah itu.
Sejak Mei 1998 hingga September 2007, KKDN menghantar lapan surat kepada pemohon dan menerusi surat bertarikh 27 Mei 1998, melarang penggunaan nama 'Allah' dengan alasan boleh menyebabkan kekeliruan beragama, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam. Pemohon mendakwa menghantar surat kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri memaklumkan gereja Katolik tidak berhajat menimbulkan kekacauan.

2. Utusan Online (http://www.utusan.com.my)
(1)Perkataan Allah: Permohonan gereja Katolik ditentu 5 Mei, 29 April 2008
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini akan menentukan pada 5 Mei ini keputusan permohonan gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly.
Hakim Lau Bee Lan menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung permohonan berkenaan.
Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi yang mewakili responden-responden berhujah bahawa pihaknya tidak membantah permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap tuntutan perisytiharan bahawa larangan itu adalah tidak sah dan batal.
Bagaimanapun, beliau membantah tuntutan pemohon berhubung perisytiharan penggunaan perkataan dalam penerbitan itu dan tuntutan perkataan Allah tidak eksklusif kepada agama Islam.
Ini kerana, katanya, perisytiharan berkaitan hak tersebut seharusnya dibuat melalui tindakan saman (writ action) dan bukannya melalui semakan kehakiman yang digubal untuk menyemak keputusan menteri.
''Pemohon tidak boleh mengisytiharkan hak peribadi mereka untuk menggunakan perkataan Allah dalam permohonan semakan kehakiman. Cara yang betul adalah melalui tindakan saman atau di bawah Seksyen 41 Akta Relif Spesifik 1950,'' katanya.
Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua.
Gereja berkenaan mengemukakan permohonan semakan kehakiman bagi menuntut perisytiharan agar keputusan responden-responden yang melarang penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
Larangan penggunaan perkataan tersebut terkandung dalam keputusan responden-responden yang menyatakan bahawa permit penerbitan pemohon bagi tempoh sepanjang tahun ini adalah tertakluk kepada 'Garis Panduan Penerbitan'.
Pemohon turut menuntut perisytiharan bahawa mereka berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan itu dan perkataan Allah tidak eksklusif kepada agama Islam.
Menurut Azizah, isu sama ada pemohon mempunyai hak menggunakan perkataan Allah berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, perlu ditentukan oleh mahkamah selepas mendengar keterangan pakar terhadap isu tersebut.
Begitu juga, kata Azizah, keterangan pakar diperlukan sebelum mahkamah membuat keputusan bagi menentukan tuntutan mengenai perkataan Allah yang dikatakan tidak eksklusif kepada agama Islam kerana ia membabitkan kepercayaan dan penggunaan bahasa.
''Persoalan penting tersebut tidak boleh ditentukan oleh mahkamah berdasarkan kepada afidavit pemohon dan menteri semata-mata,'' kata beliau ketika memohon agar permohonan kebenaran bagi kedua-dua isu itu ditolak.
Sementara itu, peguam Porres Royan pula berhujah, adalah pramatang untuk mahkamah mendengar hujah berhubung remedi yang sesuai berhubung tuntutan kedua-dua isu itu di peringkat awal ini yang hanya membabitkan permohonan mendapatkan kebenaran.
Isu tersebut, menurut beliau, sepatutnya didengar pada peringkat semakan kehakiman kelak jika kebenaran diberikan oleh mahkamah.
(2)Kalimah Allah: Mahkamah Tinggi benarkan Gereja Katolik buat semakan, 5 Mei 2008
KUALA LUMPUR – Gereja Katolik dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membuat semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly.
Hakim Lau Bee Lan juga membenarkan gereja tersebut untuk membuat semakan kehakiman terhadap tuntutan mereka untuk perisytiharan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu dan tuntutan bahawa kalimah Allah tidak eksklusif kepada agama Islam.
(3)Gereja Katolik dibenar buat semakan kehakiman, 5 Mei 2008
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman (undang-undang) terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly.
Hakim Lau Bee Lan juga membenarkan Gereja Katolik membuat semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
Kebenaran yang sama juga diberikan berhubung tuntutan perisytiharan bahawa gereja itu berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut dan perkataan tersebut tidak eksklusif kepada agama Islam sahaja.
Dengan kebenaran tersebut, peguam Porres Royan yang mewakili Gereja Katolik memberitahu wartawan di luar mahkamah, pihaknya akan memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman dalam tempoh dua minggu ini.
Hakim Bee Lan dalam penghakimannya berkata, beliau bersetuju dengan pendapat Royan bahawa adalah terlalu awal untuk membuat sebarang hujahan bagi menentukan remedi (jalan penyelesaian) yang sesuai pada peringkat ini.
''Kesesuaian remedi atau sebaliknya seharusnya ditentukan di peringkat merit, yang mana mahkamah boleh membentuk remedi yang sesuai mengikut keadaan-keadaan tertentu kes ini,'' kata beliau.
Sejajar dengan itu, beliau menolak hujahan bantahan Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi berhubung tuntutan perisytiharan bahawa pemohon layak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan dan perkataan itu tidak eksklusif kepada agama Islam.
BerhujahAzizah sebelum ini berhujah bahawa dua tuntutan itu sepatutnya dibuat melalui tindakan saman dan ditentukan melalui keterangan pakar kerana ia melibatkan hak-hak peribadi.
Hakim Bee Lan turut bersetuju dengan hujahan Royan bahawa relif terhadap hak remedi dan perisytiharan perlu dipohon bersama atau secara alternatif dalam satu permohonan semakan kehakiman sekiranya ia membabitkan perkara yang sama.
''Dalam kes ini, keputusan yang mengandungi syarat dalam permit penerbitan pemohon, kesannya kepada kepercayaan komuniti yang pemohon ketuai iaitu tidak boleh menggunakan perkataan-perkataan tertentu seperti perkataan Allah dan sama ada pemohon benar atau sebaliknya, akan ditentukan melalui meritnya semasa pendengaran permohonan semakan kehakiman,'' katanya.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini telah digabungkan dengan portfolio Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjadi Menteri Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.
Gereja berkenaan mengemukakan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.
(Tamat)