"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

Malay news on SIB Church

Berita Harian” (http://www.bharian.com.my)

Permohonan Sidang Injil Borneo 29 Januari (n.d, Januari 2008)
Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas menetapkan 29 Januari ini untuk mendengar permohonan Sidang Injil Borneo (SIB) bagi mendapat izin mengambil tindakan terhadap kerajaan yang menghalang kemasukan bahan terbitan Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’.
Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim juga menetapkan tarikh itu untuk mendengar permohonan SIB bagi menangguhkan perintah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berhubung perkara terbabit hingga permohonan semakan kehakiman selesai.
Wan Afrah yang menetapkan tarikh itu dalam kamar turut memerintahkan SIB (pemohon), Menteri Keselamatan Dalam Negeri (responden pertama) dan Kerajaan Malaysia (responden kedua) memfailkan hujahan bertulis bagi kedua-dua permohonan itu sebelum tarikh ditetapkan.
Dalam permohonan difailkan 10 Disember lalu, Presiden SIB, Jerry WA Dusing @ Jerry W Patel, 54, dan SIB memohon 22 relif yang antaranya adalah perintah membatalkan keputusan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang enggan membenarkan import empat tajuk bahan penerbitan Kristian dan menahan penyerahan dua buah tajuk bahan terbitan lain.
SIB juga menuntut perisytiharan bahawa adalah menjadi hak mereka untuk menggunakan istilah ‘Allah’ dalam terjemahan kitab Bible dalam bahasa Malaysia atau Bahasa Indonesia serta dalam semua penerbitan dan bahan keagamaan mereka.
Pengisytiharan yang dipohon adalah mengikut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua agama diamalkan dengan aman dan damai dengan pemohon berhak menggunakan perkataan `Allah’ dan mempunyai hak memperoleh Al-kitab dalam bahasa Malaysia atau Indonesia. Hak itu merangkumi bahan yang dicetak dan diterbit bukan saja di gereja, tetapi juga di tempat atau bangunan dalam pengamalan agama mereka, walaupun bahan serta penerbitan itu mengandungi perkataan ‘Allah’.
Pemohon mendakwa, responden membuat kesilapan apabila gagal mengambil kira bahawa penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh agama Kristian adalah mendahului kedatangan Islam dan nama Tuhan yang terkandung dalam kitab Arab lama dan baru yang digunakan oleh kebanyakan masyarakat Kristian.
Mereka juga memberi alasan bahawa terjemahan kitab Bible dalam bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia sudah digunakan oleh penganut agama Kristian di negara ini sejak beberapa generasi terdahulu.
Selain itu, dalam afidavit bagi menyokong permohonan itu, Dusing mendakwa Penyelia Pelajaran Kanak-Kanak dan seorang kakitangan SIB, Kinambo Gaduan membawa tiga kotak bahan pelajaran bagi kanak-kanak Kristian kepunyaan SIB pulang ke Kota Kinabalu pada 15 Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, Kinambo yang membawa bahan terbitan dari Surabaya, Indonesia, didakwa ditahan pegawai kastam ketika berada di Terminal Tambang Murah (LCCT), Sepang.
Dusing mendakwa, SIB menerima sepucuk surat daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang bertarikh 10 September 2007 menyatakan import penerbitan Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ‘Kaabah’ adalah dilarang untuk edaran di negara ini.

(Tamat)