"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

Malay news on the term (2)

1.“Utusan Malaysia Online” (http://www.utusan.com.my)

(1)Islam sembah Allah yang Esa , 27 Juli 2007
Soalan:
Saya menetap di luar negara dan mempunyai kenalan berasal dari Indonesia yang beragama Kristian. Suatu hari, saya ternampak seperti doa ditampalkan pada dinding di rumah mereka dan dalam doa itu, nyata ditulis Allah menggantikan perkataan tuhan.
Bila saya bertanya kepada kawan saya dan berkata mereka memang memuji Allah di dalam gereja. Malah, di dalam kitab injil berbahasa Indonesia mereka menulis nama Allah dan bukan tuhan atau god.
Saya terpinga-pinga dengan jawapannya itu. Soalan saya, bolehkah mereka menggunakan nama Allah sesuka hati tetapi tidak menganut agama Islam yang suci?
Jawapan:
Di dalam kitab-kitab terdahulu, kitab-kitab yang diturunkan sebelum al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur. Taurat kepada Nabi Musa a.s. Injil kepada Nabi Isa a.s. Zabur kepada Nabi Daud a.s. dan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Umat Islam wajib beriman bahawa keempat-empat kitab itu diturunkan kepada nabi-nabi tersebut. Di dalam kitab-kitab ini, Allah s.w.t menuntut agar setiap generasi manusia beriman kepada Allah s.w.t. biarpun syariat di antara seorang nabi dengan nabi yang lain berbeza.
Firman Allah yang bermaksud: Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama tauhid itu dan memberi hidayat petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat). ( al-Syura’:13)
Dalam ayat yang lain Allah menjelaskan bahawa tugas para nabi adalah mengajak orang menyembah Allah bukannya menggangkat diri sendiri sebagai tuhan.
Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud, Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: Wahai Isa Ibni Mariam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? Nabi Isa menjawab: Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. (al-Maidah: 116). Jelas dalam ayat ini Allah bertanya, sedangkan Dia lebih mengetahui mengenai Nabi Isa a.s. Pertanyaan itu adalah untuk memberi Nabi Isa sendiri menafikan yang dia bukan tuhan.
Firman-Nya yang bermaksud, Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya. (al-Nahl: 36 ).
Namun perintah mengabdikan diri kepada Allah tetap sama, iaitu perintah memperakui ketuhanan Allah. Maka di dalam kitab-kitab ini terdapat perkataan ‘Allah’. Ini kerana mereka juga percaya kepada Allah s.w.t tetapi mengingkari kenabian Nabi Muhammad s.a.w. Namun pada hakikatnya mereka kufur kepada Allah s.w.t.
Sebenarnya mereka tidak kenal Allah malahan Allah s.w.t. dijelmakan kepada makhluk. Akhirnya mereka bukan sembah Allah tetapi sembah makhluk yang tidak dapat memberi apa-apa. Allah s.w.t perlu dikenali melalui sifat-sifat-Nya.
Bila kita lihat kepada perkataan Allah kita akan merasai seolah-olah mereka mempercayai Allah tetapi pada hakikatnya Allah yang dimaksudkan oleh mereka adalah lain daripada Allah s.w.t yang dimaksudkan oleh orang Islam.
Allah s.w.t yang dimaksudkan oleh Islam ialah Allah s.w.t yang menjadikan langit dan bumi yang menjadikan segala sesuatu, Dialah yang mengutuskan nabi akhir zaman.
Nabi itulah yang mengajar kita mengenal Allah s.w.t. Manusia tidak dapat mengenal Allah tanpa Nabi Muhammad s.a.w. Jika Nabi Muhammad s.a.w diingkari akan perutusannya maka dengan cara apa manusia dapat mengenal Allah? Kesemua Nabi dan Rasul mengajak manusia menyembah Allah s.w.t
Soalan:
Saya memahami haram mendedah aurat ketika membaca al-Quran dengan memegang mushaf. Apa pula hukumnya jika tidak menutup aurat membaca ayat al-Quran, contohnya sambil memasak?
JAWAPAN
Harus hukumnya bagi seseorang yang tidak menutup aurat membaca ayat-ayat lazim yang atau mana-mana ayat al-Quran asalkan bukan dengan memegang mushaf.
Contohnya membaca ayat-ayat yang digantung di dinding rumah atau pejabat dan sebagainya. Keadaan ini termasuklah membaca ayat-ayat al-Quran yang dijadikan amalan seperti ayat kursi, tiga qul dan sebagainya. Ini termasuk bacaan dari hafalan seseorang.

(2) Paderi Katolik usul semua agama rujuk Tuhan sebagai Allah , 16 Ogos 2007
AMSTERDAM 15 Ogos – Seorang biskop di sebuah gereja Roman Katolik di Belanda kelmarin mencadangkan agar semua agama merujuk Tuhan sebagai “Allah” bagi memupuk persefahaman.
Kenyataan oleh Biskop Tiny Musken itu sekali gus menghangatkan lagi perdebatan mengenai toleransi agama di negara itu yang mempunyai sejuta penduduk Islam.
Musken dari kawasan Uskup selatan Breda memberitahu televisyen Belanda kelmarin bahawa Tuhan tidak kisah mengenai gelaran yang diberikan kepada-Nya dan semasa berada di Indonesia selama lapan tahun, paderi Kristian di sana katanya, menggunakan perkataan “Allah” ketika sambutan hari kebesaran agama Kristian.
“Allah adalah perkataan yang sangat indah kepada Tuhan. Bukankah kita semua patut bersetuju untuk menggunakannya?
“Adakah Tuhan peduli dengan nama yang kita seru? Paling penting Dia tahu kita merujuk kepadanya,” katanya lagi.
Bagaimanapun, tinjauan pendapat oleh akhbar terlaris Belanda, De Telegraaf hari ini mendapati lebih 92 peratus daripada lebih 4,000 responden tidak bersetuju dengan pendapat Musken.
“Ya, mari kita tukar nama panggilan Tuhan kepada Allah. Selepas itu kita panggil pula gereja sebagai masjid dan tunaikan sembahyang lima waktu. Bulan Ramadan juga menarik bunyinya,” tulis seorang pembaca, Welmoet Koppenhol kepada akhbar itu.
Pengerusi Gereja Protestan Belanda, Gerrit de Fijter berkata, dia mengalu-alukan sebarang percubaan untuk “mewujudkan lebih banyak dialog” tetapi memanggil Tuhan sebagai Allah tidak menggambarkan identiti Barat serta tidak memberi sebarang manfaat.
Jurucakap kesatuan masjid Maghribi di Amsterdam juga menyatakan bahawa orang Islam tidak pernah meminta usaha sedemikian dibuat.
Ketegangan sudahpun berlaku sejak dua minggu lalu selepas pengarah sebuah majlis untuk bekas penganut Islam diserang dan ahli politik anti-imigrasi, Geert Wilders mahu al-Quran diharamkan.
Musken yang akan bersara tidak lama lagi, sebelum ini tidak bersetuju mengenai pendapat bahawa mereka yang lapar boleh mencuri roti dan kondom perlu dibenarkan bagi menentang HIV dan AIDS.
Sebilangan rakyat yang beragama Islam menyokong ulasan Musken sebagai sokongan muhibah selepas beberapa hari Wilder menyifatkan al-Quran sebagai “buku fasis” dan sama seperti buku Mein Kampf oleh Adolf Hitler yang membenarkan keganasan.
– Reuters

(3)Perkataan Allah dalam buku agama Kristian boleh mengelirukan , 31 Disember 2007
Pendapat
IZINKAN saya merujuk laporan akhbar tentang usaha Sidang Injil Borneo berhubung larangan kerajaan terhadap mengimport bahan terbitan Kristian yang mengandungi perkataan Allah seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Sun keluaran 28 Disember 2007.
Mengikut laporan akhbar tersebut, Sidang Injil Borneo berpendapat mereka mempunyai hak dari segi Perlembagaan negara untuk menggunakan istilah Allah dalam semua bahan terbitan agama mereka.
Sidang Injil Borneo memperakukan bahawa bumiputera beragama Kristian di Sabah yang menggunakan bahasa Malaysia telah lama menggunakan perkataan Allah. Terjemahan kitab Injil dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia juga telah menggunakan perkataan Allah sebagai suatu istilah untuk Tuhan.
Perkataan Allah juga telah digunakan dalam kitab Injil Arab kuno dan juga kitab Injil Arab baru yang telah dan sedang digunakan oleh orang Arab sejak zaman dahulu hingga sekarang seperti di Mesir, Lebanon, Iraq dan Afrika.
Saya percaya ahli Sidang Injil Borneo adalah penganut agama Kristian Roman Katolik.
Sidang Injil Borneo diharap menjawab persoalan berikut secara jujur bagi manfaat semua rakyat Malaysia yang beragama Islam dan juga penganut Kristian.
Oleh kerana Sidang Injil Borneo telah merujuk penggunaan perkataan Allah oleh penganut Kristian di negara Arab bagi menguatkan alasan dan hujah mereka, maka saya ingin membuat sedikit pemerhatian berhubung kewajaran yang ingin ditimbulkan oleh Sidang Injil Borneo.
Adalah diketahui umum bahawa terdapat perbezaan tentang konsep ketuhanan dalam agama Kristian yang diamalkan oleh penganut Kristian Roman Katolik seperti yang diamalkan di negara Barat dengan konsep ketuhanan dalam agama Kristian seperti yang diamalkan oleh penganut agama Kristian di negara Arab.
Kebanyakan penganut Kristian di negara Arab adalah mengamalkan agama Kristian Timur (Eastern Church) yang berpusat di Iskandariah. Penganut Kristian Arab ini berpegang kepada konsep Unity iaitu tentang konsep ketuhanan bahawa Tuhan itu adalah yang Satu iaitu yang Esa.
Dalam Unity, kefahaman ketuhanan adalah Allah itu tidak mempunyai ciri Bapa, Anak dan Hantu Suci (Father, Son and Holy Ghost). Konsep Tuhan yang Satu ini yang digelar Unity adalah selari dengan konsep Allah yang Esa seperti yang dianuti oleh orang Islam.
Dalam konteks ini, penggunaan istilah Allah yang digunakan oleh penganut agama Kristian Timur tidak bercanggah dengan istilah Allah yang digunakan oleh umat Islam. Tiada pertentangan yang berlaku dalam hal ini.
Akan tetapi, penganut Roman Katolik tidak mempercayai konsep Unity ini. Mereka berpegang kepada konsep Trinity iaitu konsep tiga personaliti dalam satu sifat ketuhanan (the union of three persons - Father, Son, and Holy Ghost in one Godhead). Iaitu konsep the threefold personality of the one Divine Being.
Dalam konteks ini, penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama Roman Katolik adalah berkonsepkan bahawa Allah itu bersifat Trinity dan ini bertentangan dengan pegangan agama Islam. Dalam Islam, Allah itu adalah Esa. Allah dalam Islam tidak mempunyai sifat Bapa, Anak dan Hantu Suci. Inilah yang menjadi pertentangan.
Natijahnya, pengertian Allah dalam Roman Katolik adalah berbeza dengan pengertian Allah dalam Islam.
Justeru, jika tuntutan Sidang Injil Borneo dibenarkan untuk mengguna pakai istilah Allah dalam penerbitan mereka dalam bahasa Malaysia, maka akan wujud kekeliruan yang amat sangat di mana pengertian istilah Allah dalam Islam ialah Allah yang Esa manakala pengertian Allah dalam Roman Katolik ialah Allah yang Trinity. Ini sangat sensitif.
Saya percaya orang Islam tidak akan mengizinkan perkara ini berlaku.
Jika Sidang Injil Borneo masih mahu menggunakan istilah Allah dalam penerbitan berbahasa Malaysia mereka, konsep Allah yang mereka gunakan perlu selari dengan makna dan fahaman konsep ketuhanan orang Islam iaitu Allah itu Esa iaitu Allah tidak mempunyai sifat Bapa, tidak mempunyai Anak dan tiada sifat Hantu Suci.
Dengan lain perkataan, untuk membolehkan Sidang Injil Borneo menggunakan istilah Allah dalam bahan penerbitan agama, mereka perlu menggugurkan kepercayaan dan kefahaman Trinity mereka dan menggantikannya dengan konsep Unity seperti yang diamalkan oleh penganut Kristian Timur di negara Arab yang berpusat di Iskandariah itu.
Untuk pengetahuan ahli Sidang Injil Borneo, umat Islam adalah wajib menerima dan mempercayai akan kesemua Rasul dan Nabi Allah daripada Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w. serta akan semua kitab-kitab-Nya. Ini termasuklah Nabi Isa Al-Masih (Jesus Christ) dan kitab suci Injil.
Para Nabi, Rasul dan kitab-kitab suci ini memberitahu kita bahawa hanya terdapat Satu Jalan yang Benar, iaitu Allah yang Esa.
Semoga Allah membuka pintu hati kita melihat satu jalan yang benar ini.
– JOHARI SHAMSUDIN, Kuala Lumpur.

2.Berita Harian Online (http://www.bharian.com.my)
Peguam Syarie Menulis: Bukan Islam wajar guna perkataan Tuhan elak keliru antara agama, 11 Januari 2008/2 Muharam 1429
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar(Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM))(exco_pgsm@yahoo.com)
MASYARAKAT Islam menarik nafas lega dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah apabila membaca pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin yang menafikan kerajaan membenarkan penerbitan akhbar Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah walaupun Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memperbaharui permitnya baru-baru ini.
Keputusan Kabinet mengekalkan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam adalah tepat kerana penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam apabila merujuk tuhan mereka boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan umat Islam. Malah, ia juga tidak bersesuaian dengan budaya dan adat yang sudah lama diamalkan di negara ini.
Keputusan itu dibuat selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan menggubal dan meluluskan undang-undang mengawal serta menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.
Walaupun rakyat bebas menganuti, mengamalkan dan mengembangkan agamanya, kebebasan itu bukan mutlak. Dalam konteks ini, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan mengehadkan kebebasan itu.
Sehubungan itu, semua negeri di Malaysia kecuali Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak sudah menggubal dan meluluskan undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan Muslim.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah menggesa keempat-empat negeri itu berbuat demikian dan ia dipersetujui oleh negeri berkenaan. Namun, perkara itu belum menjadi kenyataan. Tiada penjelasan langsung mengenai kelewatan itu. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa keempat-empat negeri itu menunaikan janji mereka.
Bagi negeri yang mempunyai undang-undang itu, ada peruntukan menyatakan, menjadi suatu kesalahan menggunakan istilah tertentu (termasuk menggunakan perkataan 'Allah', 'kaabah', 'baitullah' dan 'solat' ) bagi kegunaan agama selain Islam.
Namun, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu amat mengecewakan. Hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang itu pernah dilaksanakan. Bagaimanapun, adalah elok untuk melihat undang-undang yang sudah diluluskan bagi memahami maksud larangan Kabinet.
Umpamanya, Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991 yang diperkenankan pada 11 Februari 1992. Enakmen itu bertujuan mengawal dan menyekat pengembangan iktikad dan kepercayaan agama bukan Islam di kalangan Muslim.
Enakmen 15 seksyen itu antara lain, memperuntukkan jenis kesalahan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan antaranya:
l Memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut, atau anggota suatu agama bukan Islam;
l Mendedahkan seorang yang beragama Islam bawah umur 18 tahun kepada pengaruh suatu agama bukan Islam;
l Mendekati seorang yang beragama Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, atau pertunjukan apa-apa perkara mengenai suatu agama bukan Islam;
l Menghantar atau menyerahkan terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang yang beragama Islam;
l Membahagikan apa-apa terbitan atau bahan publisiti mengenai agama bukan Islam kepada orang yang beragama Islam;
l Menggunakan perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumberkan Islam.
Namun, jumlah denda dan tempoh penjara antara satu negeri dengan negeri lain adalah berbeza. Pada 2007, Kelantan meminda enakmen mereka dan ini menjadikan ia negeri yang mengenakan kadar denda tertinggi dan tempoh penjara paling lama antara negeri di Malaysia.
Walaupun daripada sudut penggunaan bahasa Arab perkataan Allah merujuk kepada Yang Maha Pencipta, tetapi apabila ia disekutukan dengan perkara syirik, umat Islam di Malaysia tidak dapat menerimanya.
Umat Melayu/Islam sudah pun keliru mengenai agama mereka atas pelbagai faktor dan jika perkara ini dibenarkan, umat Melayu/Islam akan bertambah keliru.
Perkataan 'Allah' berasal daripada Bahasa Arab. Jika pihak gereja ingin mengajar kanak-kanak Kristian berbahasa Melayu, kenapa mereka tidak menggunakan perkataan bahasa Melayu iaitu Tuhan. Kenapa untuk istilah itu diambil dalam bahasa Arab, sedangkan di Malaysia perkataan itu sudah sebati bermaksud Allah.
Begitu juga beberapa perkataan lain yang rata-ratanya difahami membawa maksud berteraskan Islam seperti 'Baitullah', 'Kaabah' dan 'Solat' juga hendak digunakan bagi merujuk kepada agama Kristian.Kita musykil sebab mereka beriya-iya ingin menggunakan istilah bersumberkan Islam. Dalam hal itu, keputusan Kabinet adalah tepat walaupun selepas didesak beberapa NGO Islam seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Persatuan Ulama Malaysia dan Teras. Diharapkan dengan keputusan ini, isu itu tidak akan dibangkitkan lagi.
Keharmonian antara kaum amat penting bagi mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keamanan dan kemakmuran dapat dikecapi setiap rakyat. Oleh itu, janganlah diusik sensitiviti kaum dan agama kerana keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang hendaklah dipertahankan.
(Tamat)