"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

Malay news on the term (1)

1. Utusan Malaysia Online (http://www.utusan.com.my)
(1)Kabinet benarkan Islam sahaja guna kalimah Allah, 3 Januari 2008
PUTRAJAYA. – Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar masing- masing bagi mengelakkan wujud suasana tidak harmoni.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, keputusan itu dibuat kerana penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan di kalangan umat Islam di negara ini.
Beliau berkata, adalah tidak wajar larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh agama lain dijadikan perbahasan umum yang menggambarkan seolah-olah tiada kebebasan beragama di negara ini.
‘‘Semalam, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ seperti mana yang telah diputuskan dalam mesyuaratnya pada 18 Oktober dan 1 November 2006.
‘‘Lagipun, mengikut amalan sejak sekian lama di negara ini, kalimah ‘Allah’ hanya merujuk kepada Tuhan penganut agama Islam sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1429/2008 yang akan disambut pada 10 Januari ini di sini hari ini.
Acara tahunan kali ini yang bertemakan ‘Menjana Ummah Gemilang’ itu akan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Pada 31 Disember lalu, pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah ‘Allah’.
Bagaimanapun, pada hari yang sama, Timbalan Menteri KKDN, Datuk Johari Baharum menegaskan, sekali pun permit akhbar itu diperbaharui, larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ masih kekal.
Sehubungan itu, Abdullah memberitahu, pihaknya akan memaklumkan secara rasmi kepada KKDN berhubung keputusan tersebut secepat mungkin.
Beliau berkata, selain kalimah ‘Allah’, kalimah solat, Kaabah dan Baitullah adalah dilarang penggunaannya dalam penerbitan agama lain.
‘‘Ia berdasarkan keputusan Kabinet pada 31 Julai 2002,” katanya.
(2) Siasat pendakwah Kristian guna bahasa Malaysia
Pada minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan Allah untuk artikel dakwah agama Kristian dalam The Herald. Kementerian antara lain menegaskan bahawa adalah tidak wajar sama sekali artikel agama Kristian dalam bahasa Malaysia menggunakan Allah sebagai ganti perkataan God.
Pada hemat saya, tindakan ini merupakan satu langkah yang amat tepat dan wajar.
Namun terdapat usaha sekumpulan paderi Kristian, beberapa pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba memberi imej buruk kepada kerajaan, memberi wawancara kepada media luar negara serta menghasut penganut Kristian sedia ada supaya mencabar keputusan kerajaan ini.
Mereka mendakwa sesiapa sahaja berhak menggunakan nama Allah kerana orang Arab Kristian turut menggunakan nama Allah bagi menggantikan perkataan God.
Justeru, hujah mereka adalah tidak salah untuk The Herald, menggantikan perkataan God kepada Allah dalam bahan-bahan dakwahnya yang diterbitkan dalam bahasa Malaysia.
Alasan mereka Allah merupakan kata umum bagi God dalam bahasa Arab. Alasan mereka ada rasionalnya.
Namun penggunaan perkataan Allah sebagai ganti God dalam ajaran Kristian berbahasa Malaysia adalah berniat jahat dan bermotifkan sesuatu usaha yang dilarang oleh Perlembagaan Malaysia, iaitu menjalankan pendakwahan agama lain ke atas orang Melayu.
Bagi orang Melayu dan juga budaya sosial di Malaysia, perkataan Allah bukan sahaja merupakan bahasa Arab yang membawa maksud Tuhan, tetapi juga sudah menjadi satu rujukan khusus sebagai Tuhan yang Esa dalam Islam.
Sudah beratus tahun, perkataan Allah diterima sebagai satu rujukan khusus kepada Tuhan orang Islam di negara ini. Malahan dalam bahasa Malaysia juga ejaan Allah menggunakan huruf besar yang menunjukkan rujukan nama khas, bukannya nama umum. Justeru secara budaya pun di negara ini Allah merupakan nama khas Tuhan orang Islam.
Mengapa status quo ini mahu dicabar, dirombak dan diruntuhkan? Siapakah di sebalik kumpulan ini?
Lebih meragukan, mereka menulis bahan agama Kristian dalam bahasa Malaysia tetapi menggantikan perkataan God kepada bahasa Arab – Allah.
Jika benar mereka mahu menterjemahkan God ke dalam bahasa Malaysia maka perkataan yang sewajarnya ialah Tuhan.
Mengapa mereka tidak mahu menggunakan perkataan Tuhan sebagai ganti God?
Alasan bahawa Allah merupakan bahasa Arab yang bermaksud tuhan mungkin relevan jika artikel dakwah agama Kristian tersebut ditulis dalam bahasa Arab.
Sebaliknya, oleh kerana bible atau bahan agama Kristian ini ditulis dalam bahasa Malaysia, maka perkataan yang sewajarnya menggantikan God ialah Tuhan.
Mengapa kedudukan dan konsep ini perlu dipersoalkan hari ini? Siapakah mereka ini yang kelihatan begitu berusaha meruntuhkan struktur sosial dan agama yang telah wujud sejak beratus tahun lalu di Tanah Melayu?
Bukankah tujuan mereka ini begitu jelas? Untuk mewujudkan kekeliruan agama di kalangan generasi muda Melayu. Selebihnya, bukankah ini kelihatan jelas usaha-usaha mewujudkan provokasi bagi tujuan mencetuskan ketegangan kaum dan agama?
Mereka ini mahu mencabar kedudukan agama Islam dan struktur sosial orang Melayu di Malaysia dan melihat sejauh mana kerajaan berani bertindak.
Sebagai orang Islam, kita juga mungkin wajar mempersoalkan mengapa perlu bahan dakwah Kristian dalam bahasa Malaysia? Apakah ini bukan bertujuan berdakwah kepada orang Melayu? Apakah mendakwah agama lain selain Islam kepada orang Melayu tidak lagi salah menurut Perlembagaan Malaysia? Jika salah apakah tindakan kerajaan?
– AB. JALIL BACKER,Petaling Jaya.

2.Berita Harian Online (http://www.bharian.com.my)
Abdullah nafi izin Herald guna kalimah Allah
Oleh Abdul Razak Raaff
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Mohd Zin semalam menafikan kerajaan membenarkan penerbit akhbar Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah walaupun Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) memperbaharui permitnya yang tamat Isnin lalu.
Malah, katanya, Kabinet pada mesyuarat kelmarin mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam, seperti diputuskan Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006.
Beliau menjelaskan penerbitan bukan Islam dilarang menggunakan kalimah Allah untuk merujuk ‘tuhan mereka’ kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan umat Islam.
"Larangan itu hendaklah dipatuhi dan tidak dibahaskan secara terbuka kerana boleh menjejaskan sensitiviti umat Islam. Malah, mengikut amalan yang sudah digunakan sekian lama, kalimah berkenaan merujuk Tuhan kepada umat Islam," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
Abdullah mengulas laporan dua akhbar berbahasa Inggeris pada 31 Disember lalu mengenai kenyataan Pengarang Herald-The Catholic Weekly, Lawrence KKDN memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan menggunakan kalimah Allah.
KKDN sebelum ini mengarahkan penerbit akhbar berkenaan tidak menggunakan kalimah Allah dan memberi amaran permit penerbitan boleh digantung atau ditarik balik jika gagal mematuhi peraturan itu.
Bagaimanapun, penerbit akhbar berkenaan memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan deklarasi sesuai untuk penggunaan kalimah Allah pada 5 Disember lalu.
Akhbar yang mempunyai edaran 12,000 naskah di kalangan masyarakat Kristian negara ini, menyediakan laporan dalam bahasa Inggeris, Melayu, Tamil dan Cina.
Sehubungan itu, Abdullah berkata laporan sebuah akhbar yang memetik kenyataan Andrew adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan masyarakat.
Sebaliknya, katanya, kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum bahawa larangan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar berkenaan kekal seperti yang dilaporkan akhbar New Straits Times (NST) pada hari sama adalah tepat.
(Tamat)