"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

Malay version of the news

Malaysiakini.com 20 December 2007
Akhbar mingguan Katholik hadapi masalah baharui permit

Akhbar rasmi Gereja Katholik, The Herald menghadapi masalah untuk memperbaharui permit penerbitan tahunannya kerana didakwa menggunakan perkataan "Allah" dalam bahagian Bahasa Malaysia.
Menurut sumber-sumber geraja tersebut, pihak kerajaan tidak senang dengan penggunaan perkataan "Allah" dalam akhbar tersebut, apabila merujuk perkataan "God" dalam Bahasa Malaysia.
Penggunaan "Allah" selain daripada dalam Islam, telah mencetuskan kontroversi di Malaysia. Empat tahun lalu, Kitab Injil dalam bahasa Iban diharamkan kerana ia menterjemahkan perkataan"God" sebagai Allah Taala, yang menyerupai "Allah" dalam Islam.
Pengharaman tersebut bagaimanapun ditarik balik selepas dibantah oleh masyarakat beragama Kristian.
The Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa - Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, China dan Tamil - mempunyai edaran sebanyak 12,000. Permit penerbitannya akan tamat dua minggu lagi.
The Herald - yang menyiarkan berita dan maklumat untuk penganut Katholik di Malaysia - sebelum ini telah menerima amaran bertulis berhubung artikel-artikel yang disiarkannya yang pada asasnya menyentuh isu agama dan politik.
Yang terbaru, Herald menyiarkan dimuka depannya berita mengenai perhimpunan anjuran Bersih dan Hindraf yang menyaksikan puluhan ribuan manusia membanjiri jalan-jalan di Kuala Lumpur.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dalam kenyataannya semalam berkata Kementerian Dalam Negeri telah mengenakan satu lagi syarat untuk memperbaharui permit penerbitan The Herald - iaitu membuang semua bahagian dalam bahasa Malaysia.
Ia disahkan oleh sumber-sumber yang rapat dengan akhbar Katholik itu.
Lim telah mendakwa, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi paling mengamalkan polarisasi agama berbanding dengan empat perdana menteri sebelum ini.
Contohnya, kata pemimpin DAP itu, ia termasuk perobohan Kuil Sri Maha Mariaman Temple di Kampung Rimba Jaya di Shah Alam seminggu sebelum Deepavali.
Lim berkata, ia juga tidak menghormati sensitiviti agama apabila mengadakan perhimpunan agung Umno pada hari Deepaavali.
"Bayangkan bantahan dan kemarahannya jika MCA atau MIC mengadakan perhimpunan agung mereka sewaktu cuti hari raya," kata Lim.
Selain itu, sewaktu perhimpunan agung Umno, Naib Ketua Pemuda Umno yang juga menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin menyalahkan pengedar akhbar India kerana bercuti pada hari Deepavali, menyebabkan ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmi perhimpunan itu tidak dapat dilaporkan oleh pihak media pada hari yang sama.
Sehubungan itu, beliau berkata, perdana menteri mesti mengambil langkah-langkah segera untuk menangani masalah hubungan antara agama dan menghentikan peningkatan tidak menghormati sensitiviti kaum bukan Islam Malaysia.
Sementara itu, Abdullah berkata semalam bahawa tidak perlu diwujudkan jabatan halehwal agama bukan Islam kerana sudah ada jawatankuasa mengenainya.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa jawatankuasa sedia itu dianggotai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang terdiri daripada Datuk Bernard Dompok (mengendali halehawal mengenai Kristian), Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S S Samy Vellu (Hindu) dan Menteri Perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting (Buddha).
Abdullah juga berkata, Jabatan Perpaduan Nasional mempunyai jawatankuasa yang sama dengan seorang menteri (Datuk Dr Maximus Ongkili) yang bertanggungjawab terhadap soal perpaduan, agama dan kepercayaan.

(Tamat)