"Lily's Room"

This is an article collection between June 2007 and December 2018. Sometimes I add some recent articles too.

“Herald” and Malay press (1)

Utusan Malaysia Online (http://www.utusan.com.my)
(1) Kerajaan diminta tidak teragak-agak ambil tindakan, 3 Februari 2009
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Akhbar Herald Catholic memang wajar diharamkan berikutan kedegilannya untuk terus menggunakan perkataan Allah dalam terbitan edisi Melayunya telah mencetuskan konflik agama antara kaum di negara ini.
Presiden Kebangsaan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, justeru kerajaan diminta tidak teragak-agak mengenakan tindakan tersebut bagi mengelakkan perkara lebih buruk daripada berlaku.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kerana ia bukan sahaja boleh memberi pengajaran kepada akhbar terbabit tetapi kepada pihak lain yang berhasrat melakukan perkara yang sama.
"Kalimah Allah adalah terlalu suci dan begitu juga kalimah Nabi Muhammad SWT. Dua kalimah tersebut adalah kalimah agung dalam Islam.
"Umat Islam sedia bangkit mempertahankan dua kalimah ini sekiranya ada pihak yang cuba mencemarinya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas gesaan badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang mahu kerajaan mengharamkan penerbitan Herald Catholic kerana kedegilan akhbar itu menggunakan perkataan Allah dalam terbitan bahasa Melayunya.
Persatuan Ulama Malaysia (PUM) juga menentang sebarang penerbitan bahan bacaan agama lain yang menggunakan perkataan Allah kerana ia boleh mengelirukan masyarakat majmuk di negara ini
Kelmarin, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, tindakan akhbar tersebut boleh mencetuskan krisis agama paling buruk di negara ini.
Dalam pada itu Amir Amsaa tidak menolak kemungkinan apa yang dilakukan oleh akhbar berkenaan mempunyai agenda tertentu.
"Saya setuju dengan kenyataan bahawa ia merupakan usaha dakyah mereka untuk menyebarkan agama Kristian. Jika tidak, mustahil mereka beria-ia mahu menggunakan kalimah Allah.
"Saya amat berharap kerajaan mengambil tindakan proaktif. IRIMM khuatir perkara lebih buruk akan berlaku sekiranya keadaan ini dibiarkan begitu sahaja,'' tambahnya.
(2) Haramkan segera lesen Herald Catholic, 3 Februari 2009
KOTA KINABALU 3 Feb. - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Sabah mendesak kerajaan segera menarik lesen akhbar Herald Catholic.
Pengerusinya, Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad berkata, tindakan akhbar berkenaan jelas membelakang atau menghina keputusan mahkamah yang belum menetapkan secara rasmi perkara tersebut.
Jelasnya, penggunaan perkataan itu boleh mengelirukan umat Islam dan amat 'berbahaya' kepada kira-kira 1.5 juta umat Islam di Sabah.
"Saya minta kerajaan jangan teragak-agak menarik lesen penerbitan atau mengharamkan Herald Catholic kerana ia sangat berbahaya bagi sebuah penerbitan seperti ini di Sabah," katanya.
Pekida Sabah katanya, memberi amaran kepada pihak yang membangkitkan perkara tersebut supaya tidak lagi meneruskan hasrat itu kerana ia hanya akan mencetuskan lagi situasi tegang.
Beliau percaya, pihak yang membangkitkan perkara berkenaan menjadi alat kepada pihak tertentu yang berada di luar negara dan perbuatan tersebut jelas mempunyai agenda tersembunyi.
Tambahnya, Pekida atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain sedia berdialog atau berdebat dengan Herald Chatholic atau mana-mana pihak yang tidak berpuas hati tentang perkara itu.
"Dialog ini bertujuan menghapuskan pertikaian tentang siapa yang lebih berhak menggunakan nama Allah. Mengapa sebelum ini pihak Herald Catholic tidak membangkitkan perkara ini," soalnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee hairan dengan Kementerian Dalam Negeri yang masih belum bertindak ke atas akhbar tersebut yang tetap berdegil menggunakan perkataan Allah di dalam terbitan bahasa Melayunya.
"Kenapa kerajaan lambat bertindak kerana isu ini menghina kesucian agama Islam dan turut menguji tahap kesabaran orang Melayu.
"Kedegilan itu menunjukkan mereka bukan sahaja tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi negara malah menyembunyikan agenda tertentu yang hanya mereka mengetahui,'' katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Ali berkata, Perkara 3.1 Perlembagaan Malaysia jelas termaktub bahawa agama Islam adalah agama rasmi bagi kerajaan Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Serentak itu, Syed Ali mahukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengkaji daripada aspek perundangan bagi membolehkan tindakan dikenakan ke atas penerbitan akhbar tersebut.
Dalam perkembangan lain, Majlis Gereja Sabah (SCC) meminta kerajaan tidak mengharamkan Herald Catholic kerana akhbar mingguan itu diterbitkan untuk penganut Kristian sahaja.
Pengerusi SCC, Pastor Kanan Jerry Dusing berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang dengan kerajaan supaya semua masalah yang berbangkit dapat diselesai secara baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, baru-baru ini merayu Kementerian Dalam Negeri memberi kelonggaran kepada Herald Catholic menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.
Berikutan tindakan tersebut, ia telah mencetuskan polemik baru mengenai isu itu dan pelbagai pihak mendesak supaya akhbar mingguan berkenaan ditarik balik lesen atau diharamkan terus.
(3) Penghinaan agama rasmi?, 4 Februari 2009
Oleh SHAMRAHAYU A. AZIZ
WALAUPUN isu sensitiviti agama sering menjadi topik perbincangan, masih ada pihak yang enggan menerima hakikat bahawa masyarakat kita memerlukan pendekatan lebih teliti untuk menangani isu ini. Ia begitu rumit dan tidak mudah untuk dibicarakan.
Isu penggunaan perkataan Allah dalam terbitan bukan berkaitan agama Islam adalah isu terkini yang dibincangkan. Walaupun belum ada larangan mahkamah mengenai penggunaannya, golongan ini harus faham bahawa masyarakat Islam di negara ini tidak berpuas hati dengan penggunaan perkataan 'Allah' sewenang-wenangnya.
Perlu diingat, kenyataan undang-undang seperti tafsiran mahkamah bukanlah satu faktor terbaik dalam menjaga keharmonian antara agama di negara ini. Keharmonian itu lebih bergantung kepada sifat faham-memahami, menghormati serta sifat bertoleransi antara satu sama lain.
Sifat memahami, menghormati dan bertoleransi ini bukan sahaja daripada aspek hubungan politik atau ekonomi, malah merangkumi sosial termasuk membabitkan antara agama.
Mungkin ramai yang menganggap sifat toleransi ini hanya mudah disebut di bibir, namun langkah sebenar mengamalkannya amat payah untuk dilakukan. Namun kita percaya, sifat-sifat tersebut telah lama wujud dalam masyarakat Malaysia.
Sifat-sifat itu menjadi penyumbang utama kepada kesejahteraan negara. Ia juga telah membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dan kestabilan.
Setelah berjaya mengharungi pelbagai cubaan dan kepayahan untuk mengekalkan hubungan antara kaum dan agama, masyarakat seharusnya bertanggungjawab untuk tidak membuat sesuatu yang boleh memusnahkannya.
Menjadi tanggungjawab setiap ahli masyarakat untuk memastikan hubungan sosial kekal sempurna. Tanggungjawab itu termasuklah menghormati kepercayaan agama orang lain.
Perbuatan dengan cara perbuatan lahiriah atau penulisan perlulah sentiasa menghormati perasaan terutamanya sentimen keagamaan semua anggota masyarakat.
Seperti yang dimaklumi, agama adalah antara perkara sensitif. Semua anggota masyarakat harus sedar bahawa setiap ajaran agama mempunyai teras-teras tertentu yang tidak boleh dilunturkan. Ini kerana agama itu sendiri mempunyai ikatan tertentu yang mungkin tidak boleh difahami oleh pengikut agama lain.
Kita telah melihat pengalaman dunia yang mana peperangan malah penghapusan etnik berlaku atas alasan persengketaan agama.
Realiti mengenai peri penting kestabilan sosial, terutamanya dalam perkara berkaitan agama ini harus ditanam dalam fikrah setiap ahli masyarakat.
Daripada segi undang-undang, Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Islam sebagai agama bagi negara ini di dalam peruntukan Perkara 3(1). Perkara itu turut menjamin kedudukan agama lain dengan formula "aman dan damai".
"Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan".
Formula "aman dan damai" ini belum pernah ditafsir oleh mahkamah.
Namun, daripada segi amalan, agama selain Islam tidak boleh diamalkan sekiranya ia mengganggu dan menggugat keadaan "aman dan damai" masyarakat negara ini.
Bahagian kedua Perkara 3(1) ini juga memberi pengertian bahawa, keharmonian dan toleransi antara agama perlu dititikberatkan supaya tidak menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.
Oleh itu, penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic boleh ditafsirkan sebagai menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini. Ia juga boleh mencemar formula "aman dan damai" yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Merujuk kepada isu penggunaan perkataan 'Allah', kita perlu melihat aspek baik dan buruk hubungan antara penganut agama dalam formula 'aman dan damai' itu.
Undang-undang, pada banyak ketika, tidak dapat menjadi penyelesaian kepada semua masalah terutama yang melibatkan emosi atau sensitiviti. Contoh yang mudah, adakah kebenaran mahkamah untuk membenarkan suami berkahwin dengan isteri kedua dapat mengubat atau menjadi penawar kepada emosi isteri pertama yang amat terluka dengan tindakan suaminya?
Paling baik pun, setelah terpaksa menerima keputusan mahkamah tersebut, isteri pertama harus meneruskan hidup bermadu dengan tangisan di dalam hatinya. Ini dikatakan formula 'rela dalam paksa.' Formula 'rela dalam paksa' ini sudah pasti tidak akan menjamin kebahagiaan akan kekal lama.
Begitulah juga gambaran yang dapat dibuat mengenai kesan daripada penggunaan perkataan 'Allah' oleh Herald Catholic.
Selain Perlembagaan, undang-undang mengenai pengharaman penggunaan perkataan-perkataan yang suci dalam agama Islam telah lama wujud di dalam undang-undang di negeri-negeri. Ia termaktub dalam peruntukan undang-undang berkaitan kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam yang selari dengan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Undang-undang ini adalah sebahagian daripada segmen perjanjian sosial antara kaum dan agama sewaktu proses mencapai kemerdekaan. Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang tersebut masih belum begitu terserlah.
Undang-undang dan penguatkuasaannya mungkin bukanlah jalan terbaik atau jalan utama untuk menjamin keharmonian antara agama di negara kita, namun mempunyai undang-undang yang lengkap dan penguatkuasaan yang proaktif boleh mengawal selia hubungan baik antara agama.
Sesungguhnya, sifat faham-memahami berhubung kepercayaan agama, adat resam dan keperluan setiap golongan masyarakat adalah jalan terbaik untuk mencapai keharmonian di negara ini.
Sifat toleransi, seperti yang disebut adalah juga formula yang bergandingan dengan sifat faham-memahami antara satu sama lain. Sifat ini harus wujud dalam setiap jiwa dan raga rakyat.
・PENULIS ialah Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
(Tamat)